SHAH ALAM, 16 Julai - Polis sahkan terdapat elemen lucah dan tidak bermoral dalam program motivasi 'eHati' di sebuah pusat konvensyen di Shah Alam, Selangor yang berlangsung pada September tahun lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan mendapati unsur tersebut dijalankan dalam aktiviti yang dipanggil "rebirth" pada malam acara "Queens Night" yang kononnya dibuat untuk menaikkan motivasi diri.
"Hasil siasatan mendapati memang ada kegiatan bogel yang berlaku dalam majlis tersebut. Paling kurang empat individu terlibat dalam majlis itu yang melakukan adegan berkenaan.
"Ia sebahagian acara Queens Night. Jadi dalam program itu ada Pakej A dan Pakej B. Pakej B melibatkan bayaran lebih kerana peserta akan mengakhiri program itu dengan Queens Night bagi tempoh empat hari tiga malam," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor di sini.
Polis turut merampas pelbagai peralatan pada program berkenaan termasuk beberapa cecair digunakan sebagai minuman pada majlis itu dan menunggu keputusan Jabatan Kimia sekiranya ia mengandungi bahan terlarang.
Seramai 50 peserta program berkenaan telah dikenal pasti dan mereka diminta tampil memberi keterangan untuk membantu siasatan.
Menurut Datuk Hussien, program berkenaan turut disertai golongan profesional termasuk penjawat awam.
Beliau juga mengesahkan bahawa program motivasi itu bukan berkonsepkan islamik kerana disertai peserta pelbagai agama lain.
Kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 294 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.
Terdahulu, pasangan suami isteri yang juga pengasas program motivasi rumah tangga bersama empat individu lain direman selama tiga hari untuk membantu siasatan.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Ameera Mastura Khamis terhadap semua suspek iaitu empat wanita dan dua lelaki berusia 26 hingga 57 tahun.