SHAH ALAM, 16 Julai - Taktik licik sindiket dadah menjadikan kondominium mewah di Lembah Klang dan Pulau Pinang sebagai stor simpanan heroin dibongkar polis.
Ia hasil serbuan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, 12 Julai lalu yang turut merampas 47.5 kilogram dadah bernilai RM4.13 juta.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, tiga lelaki tempatan berusia antara 47 hingga 55 tahun juga diberkas dalam serbuan berkenaan.
“Sindiket ini menggunakan kondominium dan apartmen sebagai lokasi transit penyimpanan dadah sebelum dihantar kepada pelanggan.
"Mereka turut mengubah suai kenderaan dengan ruang khas bagi menyembunyikan dadah, sebagai taktik mengelak dikesan pihak berkuasa,” katanya pada sidang media di IPK Selangor.
Tambahnya, sindiket terbabit dipercayai aktif sejak awal tahun ini.
Turut disita, enam jenis kenderaan termasuk dua motosikal, dengan anggaran nilai rampasan mencecah RM166,000.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup serta sebatan jika disabit kesalahan.
Siasatan lanjut masih diteruskan bagi memburu saki baki ahli sindiket yang masih bebas.