KUANTAN, 16 Julai – Sebuah stor disyaki menyimpan minyak diesel tanpa permit sah diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam Op Tiris 2025 di Indera Mahkota, di sini, hari ini.
Pengarah KPDN Pahang, Jezlily Jamaluddin berkata, serbuan dilakukan hasil risikan sebelum ini oleh sepasukan enam anggota penguat kuasa KPDN Pahang.
“Dalam serbuan itu, kami menemukan dua buah motokar yang membawa muatan tong berisi minyak diesel dipercayai untuk tujuan penyimpanan dan penghantaran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pihaknya menyita satu unit skid tank dan minyak diesel dianggarkan bernilai RM53,195.
Manakala dua buah motokar turut disita dengan nilai RM140,000, menjadikan nilai keseluruhan sitaan sebanyak RM193,195.
Katanya, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana disyaki menjalankan urus niaga barang kawalan iaitu diesel tanpa lesen sah serta menyimpan barang kawalan di premis yang tidak dilesenkan.
“KPDN Pahang tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu atau syarikat yang melanggar peruntukan undang-undang berkaitan barang kawalan seperti minyak diesel,” tegas beliau.