fb fb fb fb fb

Premis di Jalan Silang diserbu, 1,101 PATI ditahan

Operasi bersepadu dijalankan bagi membanteras jenayah yang berlaku sekitar kawasan itu terutama melibatkan Pendatang Asing Tanpa Izin

KUALA LUMPUR, 21 Disember - Seramai 1,101 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ditahan hasil serbuan terhadap 60 premis di sekitar Jalan Silang, di sini, tengah hari tadi.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata operasi bersepadu dijalankan bagi membanteras jenayah yang berlaku sekitar kawasan itu terutama melibatkan Pendatang Asing Tanpa Izin.

Beliau berkata, kesemua warga asing yang gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah di bawa ke Pusat Latihan Polis (Pulapol) sebelum diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

“Operasi turut memfokuskan kepada membanteras sebarang aktiviti tidak sihat di kawasan ini. Semasa penahanan ini dilaksanakan, tiada sebarang rampasan peribadi dilakukan. Kesemua mereka memberi kerjasama yang baik, tiada sebarang pergelutan dan kecederaan," katanya pada sidang media khas berhubung operasi berkenaan, di sini.

Tambah Allaudeen, operasi turut merampas 100 karton rokok, 80 karton arak dan ubat-ubatan tanpa kelulusan Kementerian Kesihatan (KKM) dengan nilai rampasan berjumlah lebih RM100,000.

Beliau turut menyeru masyarakat agar membantu menyalurkan maklumat berhubung kegiatan atau kehadiran PATI yang mencurigakan di kawasan masing-masing.

Ops Khas yang dilakukan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam itu melibatkan 1,138 pegawai dan anggota dari pelbagai jabatan dan agensi.

Ini termasuk Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti IPK Kuala Lumpur, Unit Anjing Pengesan (K9), Kementerian Perdagangan dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN