GEORGE TOWN, 14 Mei – Polis menumpaskan satu sindiket penipuan pusat panggilan atau ‘call center’ yang dipercayai menjalankan kegiatan jenayah penipuan jual beli kad hadiah (gift card) di Pulau Pinang sejak minggu lalu.
Serbuan yang dilakukan di sebuah kondominium di Alma, Bukit Mertajam semalam berjaya membawa kepada penahanan enam individu, termasuk dua dalang utama warga asing dan empat pekerja tempatan.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad memaklumkan operasi bersepadu dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah bersama Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Kontinjen Pulau Pinang.
“Siasatan mendapati sindiket ini menyasarkan mangsa tempatan dengan mewujudkan kumpulan Telegram yang dinamakan ‘Malaytelegroup 875’ sebelum menghubungi mereka dengan tawaran hadiah palsu,” katanya menerusi kenyataan.
Dalam serbuan itu, pihak polis turut merampas wang tunai berjumlah RM5,000, empat unit komputer, lapan telefon bimbit serta tiga modem jalur lebar yang dipercayai digunakan dalam kegiatan haram berkenaan.
Kesemua suspek berusia antara 18 hingga 38 tahun telah direman selama tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu, yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebat dan denda.