PUTRAJAYA 15 Mei - Tiga individu termasuk seorang bekas pengarah eksekutif sebuah syarikat swasta direman lima hari bagi membantu siasatan kes penggunaan dokumen mengandungi butiran palsu melibatkan tuntutan kira-kira RM2.5 juta.
Perintah reman sehingga 18 Mei itu dikeluarkan Majistret Mohd Dinie Shazwan Ab Shukor di Mahkamah Sesyen Putrajaya selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pagi tadi.
Kesemua suspek, seorang lelaki dan dua wanita berusia lingkungan 30-an hingga 40-an disyaki bersubahat dalam tuntutan bayaran balik dan bayaran bonus yang dibuat antara tahun 2022 hingga 2024.
Ketiga-tiga mereka ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, antara pukul 4 petang hingga 7 malam, semalam.
Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM, Norhaizam Muhammad mengesahkan penahanan tersebut.
Kes disiasat bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.