fb fb fb fb fb

SPRM tahan tiga pegawai bank, siasat rasuah dan pengubahan wang lebih RM21 juta

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tiga pegawai institusi perbankan di yang disyaki terlibat dalam kegiatan pengubahan wang haram dan rasuah / Foto RTM

PUTRAJAYA, 14 Mei – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tiga pegawai institusi perbankan yang disyaki terlibat dalam kegiatan pengubahan wang haram dan rasuah membabitkan permohonan pinjaman melebihi RM21 juta.

Ketiga-tiga suspek, terdiri daripada seorang lelaki dan dua wanita berusia lingkungan 30 hingga 40 tahun, ditahan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya antara pukul 4 hingga 5 petang semalam ketika hadir untuk memberi keterangan.

Perintah reman selama lima hari sehingga 18 Mei telah dikeluarkan oleh Majistret Mohd Dinie Shazwan Ab Shukor di Mahkamah Sesyen Putrajaya pagi ini bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

Menurut sumber SPRM, siasatan awal mendapati salah seorang daripada suspek yang merupakan ketua jabatan dipercayai meminta dan menerima wang rasuah melebihi RM170,000 daripada tiga syarikat sebagai balasan untuk memproses dan meluluskan lima permohonan pinjaman yang keseluruhannya melebihi RM21 juta.

“Ketiga-tiga suspek dipercayai bersubahat dalam kegiatan ini dengan memiliki, memindahkan, menukar dan menggunakan wang yang merupakan hasil bayaran rasuah daripada tiga syarikat pada sekitar tahun 2024,” katanya.

Susulan penahanan itu, SPRM turut membekukan empat akaun bank milik suspek melibatkan jumlah sekitar RM268,000 serta menyita tiga unit peranti telekomunikasi dan sebuah komputer riba bagi membantu siasatan.

Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) SPRM, Norhaizam Muhammad ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan dan memaklumkan bahawa kes disiasat di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN