fb fb fb fb fb

Guru mengaku tidak salah tikam anak

Foto RTM

PASIR MAS, 15 Mei - Seorang guru mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, atas pertuduhan menikam anak lelakinya berusia 11 tahun di Kampung Banggol Che Dol, Pasir Mas pada 2 Mei lalu.

Tertuduh, Asrolfandi Ab Suki, 47 tahun, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Zulkpli Abdullah.

Mengikut pertuduhan yang dibacakan, tertuduh dengan niat membunuh menikam anak kandung lelaki berusia 11 tahun menggunakan sebilah pisau sehingga mengakibatkan kecederaan.

Perbuatan itu dilakukan pada pukul 8.55 pagi di sebuah rumah di Kampung Banggol Che Dol.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aiysha Na'iah Harizan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Dalam prosiding itu, Siti Aiysha Na'iah turut memohon tertuduh dirujuk ke Hospital Bahagia di Perak untuk mendapatkan maklumat berkaitan status mental tertuduh.

Hakim kemudiannya mengarahkan tertuduh dihantar ke Hospital Bahagia dan menetapkan 15 Jun sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pada 2 Mei lalu, media melaporkan, seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun cedera dipercayai ditikam bapa kandungnya sebanyak dua kali di bahagian dada dan perut menggunakan pisau pemotong sayur.

Suspek dilaporkan mempunyai masalah mental dan sudah menerima rawatan psikiatri sejak 2008 sehingga kini.

Punca kejadian dipercayai daripada krisis rumah tangga yang dihadapi oleh suspek yang kini dalam proses perceraian dengan isterinya untuk kali ketiga, yang mana kes itu dijadualkan disebut di Mahkamah Syariah Tumpat pada 13 Mei.

SITI NUR DIATIE BINTI ZAIDI