fb fb fb fb fb

10 individu didenda kerana beri maklumat palsu kepada JPN

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 15 Mei-  Sebanyak 10 individu masing-masing didenda antara RM700 hingga RM2,000 oleh Mahkamah Majistret berasingan di sini, hari ini atas pertuduhan memberi maklumat palsu kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi tujuan mendapatkan sijil kelahiran dan kad pengenalan.

Kesemua tertuduh berusia antara 55 hingga 69 tahun itu membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim, Illi Marisqa Khalizan, M.S Arunjothy, Aina Azahra Ariffin, Farah Nabihah Muhammad Dan serta S. Mageswary.

Mengikut pertuduhan, sembilan lelaki iaitu Chok Tin Yong, Theng Lee Ping, Chia Chin Tong, Douglas Chan Chung Lei, K.K Thangarajoo, Mohamed Agbal Ibrahim, Yong Chin Heng, Lim Kok Boon dan S'ng Peng Tiong didakwa dengan sengaja mengemukakan maklumat palsu semasa membuat permohonan pendaftaran kelahiran bagi sembilan bayi di beberapa kaunter JPN di sekitar ibu negara sejak 2004 hingga 2022.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 36(b) Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM2,000 dan penjara hingga 12 bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Selain itu, Theng dan seorang lagi tertuduh Gelam Fatimah Meer Ahmad turut mengaku bersalah atas pertuduhan memohon kad pengenalan menggunakan sijil kelahiran mengandungi maklumat palsu di kaunter JPN sekitar ibu negara antara 2004 hingga 2022.

Pertuduhan mengikut Peraturan 25(1)(b) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007), memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa JPN Mohd Khairul Afizi Yusof, Zulkarnain Ahmad, Md Shahedan Md Taib, Mazrul Azli Matrus, Tengku Hazmi Taqiuddin Tengku Ab Aziz, Nor Zarina Zakaria, Nurul Nadiah Zainal Abidin, Mohd Ramzi Adnan dan Arief Khairee Khairuddin manakala beberapa tertuduh diwakili Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.-BERNAMA

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE