fb fb fb fb fb

Rasuah ujian komputer lesen, 3 individu didakwa 106 pertuduhan

Nuratika Natasha Mohd Salleh dan Nurieta Ahmad Pale ketika berada di mahkamah

JOHOR BAHRU, 15 Mei– Tiga individu termasuk dua bekas kerani mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas 106 pertuduhan membabitkan penerimaan dan persubahat rasuah berkaitan kelulusan ujian komputer lesen memandu, dua tahun lalu.

Pengakuan dibuat oleh Nuratika Natasha Mohd Salleh, 25 dan Nurieta Ahmad Pale, 36, di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua bekas kerani itu masing-masing didakwa atas 29 dan 24 pertuduhan menerima rasuah. Bekas majikan mereka, Siti Norafidah Othman, 45, pula berdepan 53 pertuduhan bersubahat dalam kesalahan sama.

Mereka didakwa menerima sejumlah hampir RM140,000 melalui 106 transaksi dalam talian sebagai sogokan untuk meluluskan ujian teori berkomputer (Bahagian Satu) bagi calon lesen memandu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di beberapa institusi kewangan sekitar Kota Tinggi antara 1 Ogos hingga 15 Oktober 2023.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) dan Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009 serta boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Fazal Lisam Abidin. Sementara itu, tertuduh diwakili peguam Syufri A. Samad dan Naufal Amran.

Mahkamah membenarkan jaminan antara RM7,000 hingga RM10,000 dengan syarat tambahan. Sebutan semula kes ditetapkan pada 26 Jun.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE