fb fb fb fb fb

Pengarah syarikat didakwa perdaya Perhilitan Pahang

Datuk Chan Kong San, 64, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memperdayakan Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang dengan menyembunyikan fakta berkaitan penjualan dua singa putih dan seekor kucing Eurasian lynx kepada Zoo Melaka dengan bayaran RM68,000, empat tahun lepas / BERNAMA

KUANTAN, 15 Mei- Seorang pengarah syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memperdayakan Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang dengan menyembunyikan fakta berkaitan penjualan dua singa putih dan seekor kucing Eurasian lynx kepada Zoo Melaka dengan bayaran RM68,000, empat tahun lepas.

Datuk Chan Kong San, 64, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Sazlina Shafie.

Chan didakwa memperdayakan Pengarah Jabatan Perhilitan Pahang Rozidan Md Yasin dengan menyembunyikan fakta bahawa haiwan terbabit telah dijual kepada Zoo Melaka oleh Sentoria Themeparks and Resorts Sdn Bhd dengan bayaran RM68,000 yang bertentangan dengan Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

Perbuatan itu dengan sengaja telah mendorong Rozidan untuk tidak menghalang permohonan Sentoria Themeparks and Resorts Sdn Bhd membuat pemindahan hidupan liar yang dilindungi di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar secara serahan kepada Zoo Melaka berdasarkan surat "Disposal of Scheduled Wildlife to Zoo Melaka (Species Protected by the WCA 2010)" bertarikh 11 Mac 2021, iaitu Rozidan tidak akan berbuat demikian jika mengetahui permohonan itu bertujuan penjualan dan bukan secara serahan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Jabatan Perhilitan Pahang, di sini pada 11 Mac 2021 mengikut Seksyen 415(b) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 417 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sharina Farhana Nor Sha’ari menawarkan jaminan RM25,000 terhadap tertuduh berserta syarat tambahan melaporkan diri sebulan sekali di Pejabat SPRM, Putrajaya dan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Peguam Datuk Bob S. Aramugam merayu jaminan dikurangkan dengan alasan perniagaan Chan semakin merosot.

Mahkamah membenarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan seperti dimohon pihak pendakwaan dan menetapkan sebutan semula kes pada 29 Julai depan.- BERNAMA

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE