GEORGE TOWN, 15 Mei- Seorang kerani wanita berusia 47 tahun kerugian hampir setengah juta ringgit selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan atas talian yang diiklankan menerusi aplikasi Facebook.
Menurut Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad, mangsa terpedaya selepas melihat tawaran pelaburan jual beli saham sekitar awal Mac lalu, yang menjanjikan pulangan segera sehingga 60 peratus daripada modal pelaburan.
Tertarik dengan tawaran lumayan itu, mangsa kemudian melakukan 14 transaksi ke dalam tiga akaun bank berbeza, membabitkan jumlah keseluruhan RM465,200.
Namun selepas beberapa minggu, mangsa menyedari ditipu apabila gagal mengeluarkan ‘keuntungan’ yang dijanjikan oleh sindiket terbabit.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.