KUALA TERENGGANU, 15 Mei- Cawangan D7, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu, bersama Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Negeri Terengganu, telah menjalankan tiga serbuan serentak ke atas restoran yang disyaki terlibat dalam kegiatan pemerdagangan orang dan eksploitasi pekerja asing di sekitar bandar Kuala Terengganu baru-baru ini.
Dalam operasi tersebut, seramai 34 pekerja lelaki warga Bangladesh berumur antara 20 hingga 60 tahun telah ditahan.
Ketua Polis Terengganu, Timbalan Pesuruhjaya Polis (DCP) Datuk Mohd Khairi Khairudin, dalam satu kenyataan memaklumkan, turut ditahan tiga lelaki tempatan berbangsa Melayu yang dipercayai majikan restoran berkenaan kerana menggajikan pekerja asing tanpa mematuhi prosedur yang sah.
Hasil siasatan mendapati kesalahan yang terlibat termasuk Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 kerana menggajikan pekerja asing tanpa permit sah, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah, dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 berkaitan salah guna permit.
Selain itu, Jabatan Tenaga Kerja turut mengenakan kompaun mengikut Seksyen 24D Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja.
“Semua pengusaha restoran dan majikan diingatkan supaya memastikan setiap pekerja asing yang diambil bekerja mempunyai dokumen dan permit yang sah serta mematuhi peraturan undang-undang yang ditetapkan.
“Sekiranya terdapat sebarang maklumat berkaitan aktiviti pemerdagangan orang dan eksploitasi pekerja asing, kami menggesa orang ramai untuk segera melaporkannya kepada pihak berkuasa demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan komuniti terpelihara," tegas beliau.
PDRM Terengganu komited untuk membanteras jenayah berkaitan imigresen serta terus melindungi hak pekerja asing dan menjaga kesejahteraan masyarakat secara keseluruhan.