SUNGAI PETANI, 16 November - Polis berjaya menumpaskan kegiatan mencuri kabel milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) selepas menahan enam lelaki dipercayai ahli Geng Kavi dalam satu serbuan, Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Hanyan Ramlan berkata, dalam serbuan tersebut polis merampas pelbagai peralatan yang digunakan untuk mencuri kabel, lapan gulung kabel milik KTMB, sebuah motosikal serta sebuah kereta.
Menurutnya, enam suspek berusia antara 27 hingga 51 tahun itu aktif melakukan kegiatan jenayah berkenaan di sekitar daerah Kuala Muda dan dipercayai terlibat dalam sekurang-kurangnya lima kes memotong serta mencuri kabel KTMB.
ACP Hanyan berkata, modus operandi kumpulan berkenaan adalah menggunakan sebuah kereta bagi memudahkan pergerakan serta menyimpan peralatan dan kabel yang dicuri.
“Mereka menggunakan peralatan khas seperti kapak, tukul besi, mesin pengisar, pemotong dan gergaji besi sebelum merosakkan pagar milik KTMB, memasuki kawasan landasan dan mencuri kabel yang berada di dalam lubang,” katanya menerusi satu kenyataan.
Beliau turut memaklumkan ketua kumpulan yang juga suspek utama berusia 38 tahun mempunyai sebanyak 30 rekod lampau, termasuk 12 berkaitan jenayah dan 18 kes berkaitan dadah.
Kesemua suspek kini direman selama enam hari bermula 11 Disember lalu sehingga hari ini bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.