fb fb fb fb fb

Kastam rampas 638 kilogram bunga ganja di Seri Kembangan

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan/Pematuhan) JKDM, Siti Mang/Foto RTM

NILAI, 16 Disember - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah antarabangsa melibatkan rampasan dadah jenis bunga ganja.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan/Pematuhan) JKDM, Siti Mang, berkata rampasan terbesar itu merupakan hasil risikan selama dua minggu bermula 17 November lalu.

Ia membawa kepada serbuan oleh Cawangan Narkotik, Bahagian Penguatkuasaan Ibu Pejabat Kastam pada 2 Disember, kira-kira pukul 3.50 petang, di sebuah rumah di Seri Kembangan, Selangor.

"Pasukan serbuan telah menemui 17 kotak parcel serta beberapa bungkusan aluminium foil yang mengandungi leraian tumbuhan berwarna hijau yang disyaki bunga ganja.

“Anggaran berat kasar bunga ganja yang dirampas adalah 638 kilogram dengan nilai RM62,5 juta," katanya pada sidang media di Cawangan Narkotik, Ibu pejabat JKDM, di sini, hari ini.

Beliau berkata, tiada tangkapan dibuat berikutan premis berkenaan kosong ketika serbuan dijalankan.

Sebuah motosikal dan mesin pembungkusan kedap udara yang berada di rumah sewa itu juga turut disita.

Mengulas mengenai modus operandi, beliau memaklumkan premis berkenaan dipercayai dijadikan lokasi pembungkusan bunga dadah, sebelum dihantar ke luar negara dengan taktik penyamaran sebagai barangan berlabel cadar microfiber bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

AHMAD ASHRAF BIN AB RAHMAN