fb fb fb fb fb

Polis tumpaskan dua sindiket penipuan dalam talian, 24 individu ditahan

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Sulizmie Affendy Sulaiman menunjukkan pasport yang dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, hari ini. / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 22 September - Polis menumpaskan dua sindiket penipuan dalam talian selepas melakukan dua serbuan berasingan di pusat bandar raya minggu lalu, dengan menahan seramai 24 individu termasuk seorang warga tempatan.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, serbuan pertama dilakukan pada 18 September di dua unit kediaman sebuah kondominium mewah, Lorong Binjai, kira-kira pukul 4 petang.

“Dalam operasi bersama Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman dan IPK Kuala Lumpur, polis menahan 13 warga asing dan seorang warga tempatan berusia 18 hingga 45 tahun yang disyaki terlibat dengan penipuan atas talian menyasarkan mangsa dari China.

“Turut dirampas lima komputer riba, 23 telefon bimbit, satu set modem dan kad akses yang dipercayai digunakan untuk mengendalikan platform palsu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan, dan kesemua suspek direman sehingga 25 September.

Sulizmie berkata, serbuan kedua dijalankan sehari selepas itu, pada 19 September kira-kira pukul 5 petang di lima unit kondominium di Troika KLCC.

“Polis menahan 10 warga asing berusia antara 25 hingga 30 tahun yang dipercayai terbabit dalam sindiket penipuan pelaburan kripto tidak wujud, menyasarkan mangsa di Jepun.

“Rampasan dalam serbuan itu termasuk tiga komputer riba, dua monitor, 16 telefon bimbit, dua set modem serta tiga kad akses,” katanya.

Kesemua mereka direman selama empat hari sehingga 23 September bagi siasatan lanjut di bawah seksyen sama.

Menurut Sulizmie, siasatan awal mendapati sindiket terbabit masuk ke Malaysia awal September lalu menggunakan pas lawatan sosial dan menyewa kediaman mewah di pusat bandar untuk dijadikan pusat operasi.

Beliau berkata, modus operandi sindiket itu ialah menawarkan pelaburan mata wang kripto melalui platform palsu, sebelum sebelum mangsa menyedari pelaburan tersebut tidak wujud.

“Walaupun sindiket ini menyasarkan mangsa luar negara, pihak polis menasihati orang ramai khususnya penduduk di kondominium mewah sekitar Kuala Lumpur supaya menyalurkan maklumat sekiranya terdapat kemasukan warga asing dalam jumlah besar yang mencurigakan.

“Kerjasama masyarakat amat penting bagi membantu polis menjalankan risikan dan tindakan lanjut,” katanya.

Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan kira-kira RM50,000.

MOHAMAD KHAIRIE KHALID