fb fb fb fb fb

Polis tumpas sindiket dadah dalam cecair vape bernilai RM1.48 juta

Sidang media bersama Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR, 28 Ogos – Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dengan kerjasama JSJN Bukit Aman berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah dalam cecair rokok elektronik (vape) bernilai RM1.48 juta menerusi tujuh operasi berasingan di sekitar ibu negara.

Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, menerusi operasi itu pihak polis merampas pelbagai jenis dadah antaranya 3,000 gram dadah jenis MDMA, lebih 7,000 mililiter cecair dipercayai dadah dalam bentuk katrij dan 39,000 mililiter botol cecair MDMA.

Dalam operasi bermula pukul 7.45 malam itu, polis menahan sembilan individu terdiri daripada lima lelaki dan tiga wanita tempatan serta seorang wanita warga Thailand berusia antara 24 hingga 34 tahun.

"Semua tangkapan yang dibuat telah dikemukakan untuk permohonan reman, manakala siasatan masih dijalankan. Saya percaya akan ada beberapa siri serbuan susulan selepas ini dan diharapkan ia terus membawa kepada penangkapan serta rampasan ekoran daripada operasi yang dilaksanakan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media bersama Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini.

Keseluruhan rampasan itu mampu menampung keperluan lebih 35,000 penagih pada satu masa.

Tambah beliau, polis turut menyita pelbagai aset mewah bernilai lebih RM1.5 juta termasuk wang tunai, kenderaan, jam tangan serta beg tangan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan, jika disabitkan kesalahan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI