fb fb fb fb fb

Kes bunuh Pelajar Vokasional: Seorang dipenjara 30 tahun, 12 lagi dipenjara sehingga perkenan TYT

Foto BERNAMA

TAWAU, 28 Ogos - Mahkamah Tinggi Tawau hari ini menjatuhkan hukuman penjara terhadap 13 bekas pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu selepas didapati bersalah membunuh rakan mereka Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan pada 22 Mac tahun lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Duncan Sikodol semasa prosiding penetapan hukuman menjatuhkan hukuman penjara 30 tahun dengan 12 sebatan kepada seorang tertuduh berusia 20 tahun.  Manakala 12 bekas pelajar lain menjalani hukuman penjara sehingga mendapat perkenan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri, selaras dengan Seksyen 97 (2) Akta Kanak-Kanak 2001.

Keputusan itu dibuat selepas Mahkamah Tinggi meneliti 13 laporan akhlak yang dikemukakan empat pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Tawau.

Namun, menurut hakim, kepentingan awam dan keseriusan jenayah itu mengatasi segala pertimbangan lain.

Tegas Datuk Duncan, kes tersebut menjadi peringatan yang amat menyedihkan bahawa perbuatan buli bukanlah perkara kecil. Ia telah meragut nyawa, menghancurkan harapan ibu bapa dan merampas masa depan anak-anak.

Dalam prosiding tersebut, empat daripada tertuduh tampil memohon maaf secara terbuka kepada ibu mangsa, Siti Hamidah Jumari, 45, sambil menyatakan penyesalan atas perbuatan yang dilakukan.

Hukuman tersebut dilihat sebagai satu amaran keras bahawa tiada kompromi oleh sistem kehakiman negara berhubung perbuatan buli yang telah mengakibatkan kehilangan nyawa.

Sementara itu, ibu kepada Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan, Hamidah Jumari, 45 tahun semasa ditemui media selepas prosiding memberitahu bersedia memaafkan kesemua bekas pelajar terbabit, namun mereka harus menerima hukuman yang setimpal dengan kesalahan yang telah dilakukan.

"Sedih, saya maafkan. Namun mereka perlu bertanggungjawab atas apa yang dilakukan", katanya.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi pada 22 Ogos lalu, mensabitkan kesalahan ke atas 13 pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu, selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Kesemua 13 bekas pelajar terbabit didapati membunuh Mohd Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan pada 21 Mac 2024 pukul 9.00 malam hingga 22 Mac 2024 pukul 7.35 pagi di Bilik Asrama 7 Resak dan 5 Belian, Kolej Vokasional Lahad Datu.

ROSLINA BINTI DIN