KUALA LUMPUR, 28 Ogos- Lebih 400 individu termasuk wanita dan warga asing ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM), dipercayai terbabit dalam sindiket penipuan dalam talian.
Kesemua mereka ditahan dalam satu serbuan di sebuah premis komersial di Bangsar South, di sini, pada Selasa.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, mengesahkan tangkapan berkenaan yang dilakukan hasil maklumat awam dan risikan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman bersama Polis Kontinjen Kuala Lumpur.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut kerana siasatan masih dijalankan dan memaklumkan sidang media khas akan diadakan dalam masa terdekat.
“Saya mengesahkan perkara tersebut berlaku dan kita akan mengeluarkan kenyataan rasmi dalam masa terdekat. Siasatan masih dijalankan susulan jumlah tangkapan yang agak ramai.
Insya-Allah, PDRM akan mengadakan sidang media khas berhubung isu ini dalam masa terdekat," kata Datuk Fadil kepada pemberita dalam sidang media, hari ini.
Operasi yang bermula kira-kira pukul 11.00 pagi itu melibatkan serbuan di lima tingkat bangunan, disyaki dijadikan sebagai pusat panggilan sindiket berkenaan.
Kesemua suspek dibawa secara berperingkat ke balai polis berhampiran dengan menggunakan beberapa trak untuk siasatan lanjut.
Sementara itu, laporan media tempatan mendakwa bangunan terbabit mempunyai kaitan dengan sebuah syarikat atau broker dalam talian yang tidak memiliki lesen Bank Negara Malaysia (BNM) serta dikaitkan dengan rungutan pelanggan.