fb fb fb fb fb

Pengarah jabatan kerajaan tidak mengaku salah guna kuasa

Foto- RTM

BUTTERWORTH, 28 Ogos - Seorang pengarah jabatan persekutuan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di sini, atas dakwaan menyalahgunakan kuasa ketika menyandang jawatan itu di Seberang Perai Utara, sembilan tahun lepas.

Tertuduh, Hanita Ahmad, 57 tahun, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Zulhasmi Abdullah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan, Hanita didakwa menggunakan jawatannya untuk memberikan kontrak makanan dan minuman kepada suaminya, Md Khashim Yahaya selaku pemilik perniagaan Tegas Enterprise bagi Program Sukarelawan Rondaan di Seberang Perai Utara bernilai RM3,840.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat daerah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional pada 14 Julai 2017.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak melebihi lima kali nilai suapan atau denda RM10, 000.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Azura Zulkiflee manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah memerintahkan jaminan RM8,000 kepada tertuduh dan menetapkan September 30 sebagai tarikh sebutan semula kes.

 Tertuduh turut diperintahkan melapor diri di pejabat SPRM setiap bulan dan menyerahkan passport sebelum 29 Ogos.

EMMI NORALIZA ADNAN