BUKIT BERUANG, 28 Ogos - Polis Melaka melupuskan pelbagai jenis dadah bernilai 2.34 juta Ringgit, melibatkan 2,075 kertas siasatan yang telah selesai perbicaraan di mahkamah bagi tempoh 2007 hingga tahun ini.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, pelupusan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Melaka itu dijalankan dengan kerjasama sebuah syarikat berlesen yang mempunyai kepakaran serta peralatan khas dalam pelupusan bahan berjadual.
“Yang pertama di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 sebanyak 87,659.48 gram dan 42,985.63 mililiter pelbagai jenis dadah dan di bawah Akta Racun 1952 iaitu sebanyak 315,764.74 gram dan 1 juta 37.488 mililiter bahan larangan,” ujarnya.
Paling banyak dilupuskan kali ini ialah dadah jenis syabu selain heroin, ganja, pil Erimin 5, ketamin, daun ketum dan beberapa jenis bahan terlarang lain.
Jelasnya, kesemua barang kes berkenaan telah dianalisis oleh Jabatan Kimia sebelum dilupuskan mengikut piawaian alam sekitar yang ditetapkan.
Beliau berkata demikian dalam sidang media Pelupusan Barang Kes Dadah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Tahun 2025 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka, Bukit Beruang.