fb fb fb fb fb

Dadah bernilai RM26.14 juta dilupuskan JSJN Perak

Foto fail

IPOH, 28 Ogos -Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Perak melupuskan dadah bernilai RM26.14 juta, pagi tadi.

Timbalan Ketua Polis Perak Deputi Komisioner Mohammad Azlin Sadari berkata, ia melibatkan sejumlah 5,483 kertas siasatan dari tahun 2012 hingga 2024, melibatkan kes yang telah selesai perbicaraan di seluruh negeri.

Katanya, kesemua barang kes adalah hasil serbuan dan rampasan yang dilakukan 15 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) seluruh negeri itu. Sebanyak 15 jenis dadah dilupuskan, antaranya heroin, ganja, syabu, dan ketamin.

"Kejayaan ini tidak datang dengan hanya kemahiran atau kepandaian pihak polis namun pihak polis ingin merakamkan terima kasih kerana ada kebanyakan pengoperasian kita berjaya adalah hasil tindakan keprihatinan masyarakat yang meyalurkan maklumat kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM)," katanya kepada media, di sini.

Dalam perkembangan sama beliau memberitahu, seramai 13,997 pesalah dadah ditangkap bagi tempoh Januari hingga 24 Ogos lalu.

Daripada jumlah tersebut, 1,918 ditahan atas kesalahan mengedar dadah 4,816 bagi kesalahan memiliki dan 7,212 merupakan tangkapan urin.

Jumlah rampasan bagi kes pengedaran dan memiliki dadah berjumlah RM15.7 juta dengan dadah jenis syabu, ketamin dan heroin merupakan rampasan tertinggi di Perak bagi tahun 2025.

Tambahnya lagi, sebanyak 4,827 kertas siasatan telah dibuka bawah Akta Dadah Berbahaya dan Akta Racun dengan 4,714 daripadanya telah dituduh di mahkamah.

TETITIA YUSOFF