IPOH, 27 Ogos - Polis Perak sedang menyiasat kes penemuan mayat seorang lelaki yang ditemukan di lorong berdekatan Jalan Horley, di sini, awal pagi tadi.
Mangsa ditemukan dalam keadaan berlumuran darah dengan kecederaan serius di bahagian kepada dan belakang badan.
Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, kejadian disedari seorang pekerja hotel kira-kira pukul 6 pagi.
"Siasatan lanjut mendapati pada pukul 4.24 pagi, rakaman CCTV menunjukkan mangsa dikejar oleh sebuah lori berwarna putih sebelum berlaku pergelutan dengan suspek.
"Mangsa kemudiannya terjatuh di hadapan kenderaan tersebut sebelum digilis dan ditinggalkan di lokasi kejadian," katanya.
Bedah siasat yang dijalankan Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun mengesahkan kematian mangsa disebabkan kecederaan di kepala dan dada akibat pelanggaran jalan raya.
Pihak polis telah mengenal pasti pemilik dan pemandu lori tersebut dengan suspek kini sedang dikesan bagi membantu siasatan.
Kes disiasat di Bawah Seksyen 302 kanun keseksaan.