KUALA LUMPUR, 29 Disember- Polis Diraja Malaysia telah mengenal pasti lebih 10 penempatan warga asing di seluruh negara untuk meneruskan operasi seperti yang dilakukan di ‘Mini Dhaka’ Jalan Silang, sebelum ini.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata operasi akan diteruskan dalam masa terdekat dengan menumpukan kawasan penempatan pendatang asing tanpa izin (PATI).
Beliau berkata, operasi tersebut tidak tertumpu di sekitar Lembah Klang sahaja, malah turut melibatkan beberapa negeri lain termasuk Johor, Kedah dan Kelantan.
"Operasi ini adalah operasi berterusan, kita buat secara konsisten, kita dah kenal pasti lokasi-lokasi sasaran.
"Banyak operasi sebelum ni yang kita buat melibatkan serbuan ataupun operasi ke atas penempatan warga asing tetapi banyak kebocoran berlaku, selalunya sebelum kita datang semua dah tiada,"katanya.
Datuk Seri Ayob Khan berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pemakaian Lencana Pangkat Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) di Pusat Latihan Polis (Pulapol), di ibu negara.
Pada majlis tersebut, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad dilantik sebagai Pengarah JPJKK baharu, menggantikan Datuk Seri Aidi Ismail yang akan bersara pada 1 Januari ini.
Turut diadakan; Majlis Serah Terima Tugas Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) JPJKJ, daripada Datin Seri Raja Asaudat Raja Muda kepada Datin Sarihah Jusoh.