fb fb fb fb fb

Empat mat motor 'superman' didakwa tunggang motosikal secara berbahaya

Kesemua tertuduh diiringi polis ketika tiba di mahkamah

TEMERLOH, 29 Disember- Empat penunggang motosikal termasuk seorang pesalah juvana berusia 15 tahun, didakwa di Mahkamah Sesyen Temerloh hari ini atas pertuduhan menunggang secara melulu dan berbahaya pengguna lebuh raya lain di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1).

Bagaimanapun semua tertuduh mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim Ahmad Rizki Abdul Jalil.

Tiga tertuduh penuntut Institut Pengajian Tinggi (IPT) Ammar Muizzuddin Abdul Aziz, 19, Wan Muhammad Syahmi Wan Zulkififli, 20, dan Mohamad Haiqal Mohd Hanafi, 22 tahun.

Sementara seorang lagi pesalah juvana adalah pelajar sebuah sekolah menengah di Temerloh.

Mengikut fakta pertuduhan, semua tertuduh didakwa menunggang motosikal secara melulu dan membahayakan pengguna jalan raya lain.

Kesalahan didakwa dilakukan kira-kira jam 6:30 petang, 24 Disember lalu di Kilometer 127 LPT 1 arah timur, Temerloh.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sabit kesalahan boleh dipenjara hingga lima tahun dan denda hingga RM15,000.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Khairunnisa Zaffar dan semua tertuduh diwakili Khairul Anuar Abu Hasan Ashaari.

Mahkamah menetapkan tiga penuntut IPT dijamin RM3,000 seorang dan RM1,500 untuk jaminan bagi pesalah juvana.

6 Februari ditetapkan untuk sebutan semula kes.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE