JOHOR BAHRU, 6 Disember- Polis mengesahkan menerima laporan berhubung kes seorang murid berusia 10 tahun yang didakwa dikasari guru sekolahnya, kata Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Raub Selamat.
Beliau berkata pihaknya menerima laporan berkaitan kes itu pada semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
“Siasatan dirujuk kepada pendakwaraya bagi mendapatkan arahan untuk menyiasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, tular di Facebook yang mendakwa seorang murid ditampar, ditumbuk, direntap rambut dan diseret hingga ke pejabat sekolah oleh guru sekolah.
Pemilik akaun laman sosial berkenaan mempersoalkan perbuatan itu kerana kanak-kanak tersebut tidak mempunyai ibu bapa dan tinggal di rumah kebajikan masyarakat.
Hantaran itu turut mengundang kemarahan orang ramai dan mahu tindakan sewajarnya diambil.-BERNAMA