SEREMBAN, 11 September- Polis menahan tujuh individu yang disyaki terlibat dalam kes rompakan berkumpulan menggunakan senjata dan pecah rumah sekitar Jun hingga Ogos lalu, dengan kerugian dianggarkan RM70,000.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdul Malik Hasim berkata, lima lelaki dan dua wanita berusia 30-an itu ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Kontinjen Negeri Sembilan menerusi operasi di Bukit Pelandok, Port Dickson dan Ampang, Selangor pada 26 Ogos lalu.
“Semakan mendapati kesemua suspek lelaki mempunyai rekod jenayah dan dadah, manakala dua suspek wanita tidak mempunyai rekod lampau.
Modus operandi kumpulan ini ialah memecah masuk rumah melalui tingkap dengan mengumpil, menyerang mangsa menggunakan parang sebelum melarikan barang kemas, telefon bimbit serta wang tunai,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397, Seksyen 412, Seksyen 414 dan Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, Abdul Malik berkata, polis menahan empat lelaki tempatan berusia 20-an hingga 40-an yang dipercayai terbabit dalam kes pecah masuk rumah telekomunikasi di kawasan tangki air milik Syarikat Air Negeri Sembilan pada 24 Ogos lalu.
Katanya, kesemua suspek ditahan di kawasan perumahan Kota Warisan, Sepang pada hari sama.
Semakan mendapati mereka mempunyai rekod jenayah dan narkotik serta mengaku terlibat dalam lima kes pecah masuk pencawang telekomunikasi sekitar Nilai sejak bulan lepas.
Kes disiasat mengikut Seksyen 457 dan Seksyen 34 Kanun Keseksaan.