PAPAR, 11 September - Mahkamah Koroner hari ini mengadakan lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha bagi sesi locus in quo, iaitu prosiding luar mahkamah berhubung inkues kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
Lawatan yang memasuki hari keenam prosiding inkues itu diketuai Koroner Amir Shah Amir Hassan, bersama beberapa peguam pendakwaan dan peguam mewakili keluarga mangsa.
Mereka tiba di lokasi sekitar pukul 9.30 pagi.
Turut serta dalam lawatan tersebut ialah Pakar Patologi Hospital Queen Elizabeth, Dr. Jessie Hiu.
Pengamal media turut berada di kawasan sekolah, namun tidak dibenarkan masuk dan hanya menunggu di luar pagar sekolah.
Polis turut mengadakan kawalan keselamatan di sekitar kawasan sekolah dan kawasan berhampiran.