fb fb fb fb fb

Polis nafi berlaku kes culik kanak-kanak di Kuala Berang

Tangkap layar video tular berdurasi 30 saat menunjukkan seorang kanak-kanak perempuan ditemukan dalam keadaan 'berikat' didakwa mangsa culik

KUALA BERANG, 11 September - Polis menafikan berlaku kejadian culik membabitkan seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Supt Sharudin Abdul Wahab menerusi satu kenyataan memaklumkan, hasil siasatan mendapati kanak-kanak itu merupakan orang kurang upaya (OKU) autisme yang menerima rawatan di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Kuala Berang.

Beliau menjelaskan kanak-kanak berkenaan keluar tanpa disedari sebelum ditemui orang awam sedang berjalan di tepi jalan utama.

“Pihak PDK menggunakan kaedah terapi mengikat tangan bagi melatihnya duduk diam semasa makan dan ia dipersetujui ibunya. Bagaimanapun, kanak-kanak itu keluar tanpa disedari selepas pintu dibuka kanak-kanak lain,” katanya.

Supt Sharudin berkata, siasatan mendapati tiada unsur jenayah dalam kejadian tersebut dan ibu mangsa turut menafikan dakwaan penculikan yang tular di media sosial.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan gambar atau video kanak-kanak terbabit demi menjaga nama baik keluarga serta institusi berkaitan.

Terdahulu, tular rakaman video berdurasi 30 saat di media sosial yang mendakwa berlaku kes culik di Kuala Berang.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE