ALOR SETAR, 11 September - Polis sedang mengenal pasti identiti seorang lelaki yang maut selepas dipercayai dilanggar sebuah kereta ketika melintas di Kilometer 46 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan, pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Siti Nor Salawati Saad menerusi satu kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 7.30 pagi.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah kereta jenis Hyundai dipandu lelaki berusia 61 tahun dari arah utara ke selatan melanggar mangsa yang sedang melintas dari kiri ke kanan jalan.
“Akibat pelanggaran itu, mangsa tercampak ke lorong kecemasan sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan di lokasi. Mayat mangsa kemudian dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah untuk tindakan lanjut,” katanya.
Beliau berkata, pemandu kereta terbabit sudah membuat laporan polis dan siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohd Lukmanul Hakim Mohd Fauzi di talian 04-7321222 atau 013-9964614.