SEPANG, 10 September - Polis menjalankan siasatan berhubung penemuan mayat seorang wanita dalam keadaan reput di kawasan berhampiran Limo, KLIA pada 1 September lalu.
Ketua Polis Daerah KLIA, ACP Azman Shari’at dalam kenyataan memaklumkan, mayat berkenaan ditemui orang awam kira-kira pukul 7.50 malam dalam keadaan tidak sempurna dengan bahagian kepala hanya tinggal tengkorak.
Mangsa yang berpakaian lengkap dipercayai telah meninggal dunia lebih seminggu sebelum ditemui. Ketika kejadian, mangsa memakai kemeja-T putih dengan tulisan “Fear Less” serta seluar kargo pendek berwarna krim.
Bedah siasat yang dijalankan di Hospital Serdang menemukan empat kecederaan mencurigakan pada tubuh mangsa. Susulan itu, kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan motif pembunuhan masih dalam siasatan.
Orang ramai yang kehilangan ahli keluarga dengan ciri-ciri dinyatakan atau mempunyai maklumat berkaitan diminta segera menghubungi balai polis berhampiran, atau Pegawai Penyiasat, DSP Tee Ah Chew di talian 018-2183555.