PADANG BESAR, 11 September- Polis merampas 252 botol dan tin minuman keras pelbagai jenama dipercayai cuba diseludup masuk ke negara ini.
Operasi dilakukan di Ladang Kenaf, Padang Besar pada 9 September lalu.
Ketua Polis Daerah Padang Besar, ACP Mohd Shokri Abdullah berkata, barangan itu ditemui berdekatan tangki air selepas intipan dijalankan hampir dua jam oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar menerusi Ops Kontraban.
“Kesemua minuman keras yang dimuatkan dalam 12 bungkusan plastik hitam dipercayai diseludup dari negara jiran untuk dipasarkan di kawasan utara semenanjung.
Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM4,500,” katanya dalam kenyataan.
Bagaimanapun, tiada tangkapan dibuat dalam operasi tersebut.
Kes disiasat bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan denda tidak kurang daripada sepuluh kali ganda amaun duti kastam atau RM100,000, atau penjara enam bulan hingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali.