fb fb fb fb fb

Polis tahan tokan dadah di Taman Melawati

Foto Polis

KUALA LUMPUR, 31 Mei - Seorang lelaki ditahan kerana disyaki tokan dadah, dan polis merampas ganja seberat 69.82 kilogram dalam satu serbuan di sebuah rumah di Taman Melawati, Khamis lepas.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman DCP Mat Zani@Mohd Salahuddin Che Ali dalam kenyataan berkata, polis menemukan 66 ketulan bungkusan mampat ganja bernilai RM216,457 dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV).

Suspek berusia 44 tahun itu yang berperanan sebagai tokan dipercayai aktif sejak November lepas dan mempunyai dua rekod lampau membabitkan jenayah serta dadah.

"Siasatan lanjut mendapati dadah berkenaan dibawa masuk dari negara jiran melalui sempadan Perlis sebelum dibawa ke Lembah Klang untuk pasaran tempatan," katanya.

Tindakan diambil mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 ke atas motosikal jenis Ducati milik suspek dianggarkan bernilai RM29,500 menjadikan nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM245,957.

"Hasil ujian saringan awal mendapati suspek negatif dadah dan lelaki itu kini direman tujuh hari hingga 5 Jun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya lagi.

TETITIA YUSOFF