fb fb fb fb fb

APMM tumpas sindiket seludup burung eksotik bernilai RM100,000

Foto Facebook Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia

BATU PAHAT, 31 Mei - Satu sindiket membawa keluar lebih 1,300 burung eksotik bernilai RM100,00 yang didalangi dua lelaki warga tempatan ditumpaskan semalam.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Batu Pahat Komander Maritim Mohammad Zaini Zainal berkata, cubaan menyeludup burung ke negara jiran itu gagal selepas bot fiber dinaiki suspek berjaya dipintas bot APMM pada kira-kira 1.00 pagi.

“Sebaik ditahan, pemeriksaan mendapati terdapat 114 bakul berisi burung Murai Batu dan Murai Kampung dalam jumlah yang dianggarkan melebihi 1,300 ekor.

“Kedua-dua lelaki berusia 26 dan 37 tahun itu gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran membawa keluar hidupan liar dan telah ditahan serta dibawa ke jeti Zon Maritim Batu Pahat untuk siasatan lanjut,” katanya menerusi satu kenyataan.

Beliau berkata kejayaan tersebut merupakan hasil risikan berhubung aktiviti penyeludupan di perairan Tanjung Laboh yang dipercayai menjadi lokasi transit utama sindiket penyeludupan hidupan liar.

Mohammad Zaini berkata cubaan seludup tersebut dilakukan kerana terdapat permintaan yang tinggi, selain pihaknya mendapati sindiket menggunakan bot kecil pada waktu malam bertujuan mengaburi pihak berkuasa.

Kes disiasat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010, manakala nilai rampasan keseluruhan termasuk bot dan burung dianggarkan mencecah RM100,000.

TETITIA YUSOFF