fb fb fb fb fb

Polis tahan tiga individu, miliki ekstasi seberat 24.41kg

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata demikian dalam sidang media, hari ini

JOHOR BAHRU, 25 September- Polis menahan tiga individu termasuk sepasang kekasih berusia 23 hingga 29 tahun dalam dua serbuan di Johor Bahru, melibatkan rampasan dadah jenis MDMA atau ekstasi seberat 24.41 kilogram bernilai RM3.49 juta.

Serbuan dijalankan antara pukul 10.30 malam Sabtu hingga pukul 2.30 pagi Ahad lalu, hasil risikan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata pasangan itu ditahan di sebuah hotel di Taman Sentosa bersama cecair dadah berkenaan.

Seorang lelaki tempatan pula diberkas dalam serbuan kedua bersama dua katrij rokok elektronik berisi dadah.

"Suspek pertama dan kedua yang ditahan disyaki berperanan sebagai pengedar, manakala suspek ketiga bertindak sebagai penjaga stor atau penyimpan dadah tersebut.

Jumlah dadah yang dirampas itu, sekiranya terlepas ke pasaran, dianggarkan boleh digunakan oleh seramai 460,767 orang," kata Datuk Ab Rahaman kepada pemberita, hari ini.

Sindiket dipercayai aktif sejak Julai lalu.

Semua suspek direman tujuh hari sehingga Sabtu untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Polis turut menyita dua kenderaan dan barang kemas bernilai lebih RM55,000.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM