fb fb fb fb fb

Inkues Zara Qairina: Keputusan liputan media dijangka petang ini

Foto kecil: Zara Qairina

KOTA KINABALU, 25 September- Mahkamah Koroner Kota Kinabalu dijangka membincangkan semula cadangan agar prosiding inkues kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir, 13, yang membabitkan saksi kanak-kanak diberi liputan media, petang ini.

Menurut pasukan pegawai pengendali kes, sehingga pukul 2.00 petang, semua pihak peguam masih menunggu keputusan berhubung perkara tersebut.

Semalam, Koroner Amir Shah Amir Hassan mengemukakan cadangan berkenaan yang mendapat persetujuan semua wakil peguam, namun pelaksanaannya masih tertakluk kepada arahan lanjut Jabatan Peguam Negara.

Sebelum ini, dua wakil peguam keluarga dan Pelajar A menegaskan sekiranya liputan media dibenarkan, pengamal media perlu mematuhi garis panduan yang akan ditetapkan.

Dalam pada itu, pasukan pengendali kes enggan mengulas lanjut ketika diminta mengesahkan khabar angin mengenai kehadiran aktivis Che Muna Din atau Mona Din, yang sebelum ini dikenakan notis tunjuk sebab berhubung hantaran di Facebook mempertikai keterangan saksi pertama inkues.

Prosiding keterangan saksi kanak-kanak ketiga masih berlangsung petang tadi dengan ibunya bertindak sebagai pendamping saksi.

SITI AISHAH BINTI MD ISA