BUKIT KAYU HITAM, 26 September - Agensi Kawalan Perlindungan Sempadan (AKPS) dengan kerjasama pegawai imigresen tidak membenarkan kemasukan 10 lelaki warga India yang disyaki bukan pelancong tulen di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, semalam.
Timbalan Komander (Pengurusan) AKPS Bukit Kayu Hitam, Dr. Mohd Khairul Anuar Roselan berkata, keputusan itu dibuat selepas sesi soal siasat mendapati kesemua mereka yang berusia 20-an hingga 30-an gagal mengemukakan tujuan kemasukan yang jelas serta dokumen sokongan meyakinkan sebagai pelancong.
“Tindakan ini adalah selaras dengan Akta Imigresen 1959/63 bagi memastikan hanya pelawat sah dan memenuhi syarat sahaja dibenarkan memasuki negara,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menegaskan, AKPS Bukit Kayu Hitam akan terus memperketat kawalan pintu masuk negara selain mempertingkat kerjasama dengan agensi keselamatan lain bagi menjaga keselamatan serta kedaulatan negara.