fb fb fb fb fb

Polis tahan 'samseng jalanan' buat ugutan, baling paip besi

Foto IPD Kuching

KUCHING, 17 Oktober- Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun selepas disyaki terlibat dalam kes ugutan jenayah dan khianat kenderaan di Jalan Laksamana Cheng Ho, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Alexson Naga Chabu berkata, laporan diterima daripada seorang lelaki berumur 47 tahun yang mengadu kenderaan dihimpit sebuah kenderaan sebelum suspek keluar dalam keadaan marah dalam kejadian kira-kira pukul 8.16 pagi 

"Suspek bertindak keluar dari kenderaannya dalam keadaan marah dan cuba membuka pintu kenderaan pengadu tetapi gagal. Suspek kemudian membaling sebatang paip besi ke arah kenderaan pengadu dan menjerit menyuruh pengadu keluar dari kenderaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Alexson berkata, suspek telah ditahan polis di tempat letak kenderaan tepi Jalan Keranji, Tabuan Desa di sini sekitar 11.50 malam tadi.

Semakan mendapati suspek mempunyai tujuh rekod lampau berkaitan curi dan judi, manakala hasil ujian saringan awal kencing adalah negatif.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat.

Permohonan reman selama empat hari terhadap suspek juga telah diluluskan Mahkamah Kuching mulai hari ini bagi membantu siasatan.

Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa bertenang dan berhemah di jalan raya serta tidak mengambil tindakan sendiri yang boleh membahayakan keselamatan diri dan pengguna jalan raya lain.

"Orang ramai digalakkan menyalurkan maklumat ke balai berhampiran atau menghubungi Pusat Kawalan IPD Kuching di talian 082-244444, atau Pegawai Penyiasat, Sarjan Muhammad Shukor Eman di talian 017-4872632 bagi membantu siasatan," tambahnya.

SITI AISHAH BINTI MD ISA