GEORGE TOWN, 17 Oktober - Seorang doktor dari Hospital Pulau Pinang (HPP) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret George Town hari ini atas empat pertuduhan mengaibkan dan mencabul dua pesakit wanita warga asing.
Tertuduh, Goon Hoong Tat, 43 tahun, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Nur Fadrina Zulkhairi.
Berdasarkan pertuduhan pertama dan ketiga, tertuduh yang bertugas sebagai pegawai perubatan didakwa mengarahkan pesakitnya membuka pakaian dan berlari dalam keadaan berbogel di kawasan pemeriksaan dengan niat mengaibkan mangsa.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Bilik Pemeriksaan Klinikal, Jabatan Forensik HPP, antara pukul 9.15 hingga 9.30 malam pada 20 Februari lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Sementara itu, bagi pertuduhan berasingan, tertuduh turut didakwa mencabul kehormatan seorang pesakit dengan menyentuh dada mangsa, yang juga warga asing, di lokasi dan tarikh sama.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Lau Shavin dan Siti Nur Farahin Ahmad, manakala tertuduh diwakili peguam N. Thishalini.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,500 dan menetapkan 27 November depan untuk sebutan semula kes.