TANGKAK, 17 Oktober - Lapan lelaki termasuk empat pelajar sekolah menengah mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Tangkak atas tuduhan bergaduh dan menyebabkan kecederaan, minggu lalu.
Kesemua tertuduh berusia antara 14 hingga 43 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Lee Kim Keat.
Seorang tertuduh, Lim Jit Jun, 43 tahun, bersama empat remaja berusia 15 hingga 18 tahun, turut mengaku bersalah atas pertuduhan tambahan kerana menyebabkan kecederaan.
Bagaimanapun, dua lagi tertuduh berusia 18 tahun mengaku tidak bersalah atas dakwaan memukul menggunakan senjata.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan sekitar pukul 10.33 malam, di hadapan sebuah pusat snuker di Tangkak, 7 Oktober lalu.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 160, Seksyen 323 dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Amirah Sapian.
Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM1,100 terhadap Lim Jit Jun bagi dua pertuduhan.
Kes melibatkan tujuh tertuduh lain ditetapkan untuk sebutan semula pada 1 Disember.
Manakala kes dua remaja terbabit serangan bersenjata pula disebut semula 28 Oktober ini.