TUMPAT, 17 Oktober - Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan 108 individu yang memasuki negara menggunakan laluan tidak sah di sempadan Malaysia-Thailand, sejak penguatkuasaan larangan kemasukan secara haram pada 1 Disember tahun lalu.
Pemangku Komander PGA Tenggara, Asisten Komisioner Ijid Landu Binju berkata, 52 daripadanya merupakan rakyat Malaysia dan selebihnya pendatang asing tanpa izin (PATI).
Kesemua individu terbabit ditahan di beberapa lokasi di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand yang merentasi Sungai Golok.
Katanya, sejak larangan kemasukan secara haram dikuatkuasakan hingga 14 Oktober lalu, PGA telah merekodkan sebanyak 71 kes rentas sempadan dengan 108 tangkapan membabitkan 82 lelaki dan 26 wanita.
Kebanyakan warga asing yang ditahan menyatakan tujuan mereka untuk ke Lembah Klang bagi mencari pekerjaan.
Kesemua mereka ditahan dibawah Seksyen 5 (2) Akta Imigresen 1959/63.
"Dalam tempoh tersebut jumlah kes yang direkodkan ialah 71 kes melibatkan 82 lelaki dan 26 perempuan. Kebanyakan mereka mahu menuju ke Lembah Klang." katanya ketika melakukan tinjauan di sekitar sempada Malaysia-Thailand di Pos PGA Tanjung, Tumpat, hari ini.
Antara warga asing yang terbabit ialah warga Thailand seramai 41 orang, China enam orang, Myanmar lima orang manakala satu individu dari India serta Pakistan.
Warga asing terbabit akan dihantar ke destinasi kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dipandu oleh ejen tempatan.
Dalam perkembangan lain, ACP Ijid Landu berkata, pihaknya kini dalam usaha untuk mendapatkan unit dron tambahan yang lebih canggih dalam usaha memperketatkan kawalan di sempadan.
"Dron yang digunakan pada ketika ini sudah berkesan namun bilangan serta keupayaannya tidak mencukupi untuk memenuhi permintaan operasi.
"Dron yang lebih canggih diperlukan bagi pemantauan terutama di kawasan berisiko tinggi."
Setakat ini unit dron berjaya mengesan 41 kes atas pelbagai kesalahan bermula Januari hingga September lalu.