BUKIT KAYU HITAM, 17 Oktober – Cubaan menyeludup dadah jenis ganja menggunakan lori tangki dari Thailand ke Malaysia berjaya dipatahkan hasil kerjasama strategik antara Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) malam tadi (Khamis).
Komander AKPS Bukit Kayu Hitam, SAC Mohd Nasaruddin M. Nasir berkata, kejadian berlaku sekitar pukul 11.25 malam di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, Kedah.
“Hasil pemeriksaan terhadap lori tangki yang enjinnya masih hidup tetapi tanpa pemandu, pasukan menemui dua kotak coklat dibalut plastik lut sinar di bawah tangki, berisi 65 ketulan daun kering disyaki ganja,” katanya.
Dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM204,000, manakala keseluruhan rampasan termasuk lori tangki berjumlah RM454,000.
Semua barang rampasan diserahkan kepada Unit Narkotik JKDM Alor Setar untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39(b) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup jika disabit kesalahan.
Menurut SAC Mohd Nasaruddin, kejayaan operasi itu membuktikan keberkesanan risikan dan kerjasama antara AKPS dan JKDM dalam memperkukuh kawalan sempadan serta membanteras aktiviti penyeludupan dadah rentas sempadan.
Beliau menegaskan, AKPS Bukit Kayu Hitam akan terus mempertingkatkan operasi pemantauan, pengesanan dan risikan bagi memastikan sempadan negara kekal selamat daripada ancaman jenayah terancang.