KUALA LUMPUR, 17 Oktober - Seramai 49 wanita warganegara Indonesia berjaya diselamatkan daripada menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia dan eksploitasi buruh paksa dalam serbuan Op Pintas Tip sekitar Klang pada minggu lalu.
Operasi tersebut dijalankan oleh Bahagian Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman bersama Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (NSO MAPO).
Menurut Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk M. Kumar, sebanyak 11 serbuan dijalankan di beberapa premis yang disyaki menempatkan mangsa berusia 20 hingga 47 tahun, yang direkrut dari kawasan miskin di Indonesia dengan janji pekerjaan di Malaysia.
Namun, sebaik tiba di sini, mangsa dikurung, dikawal ketat dan telefon bimbit mereka dirampas.
“Ada mangsa yang sudah berada di sini hingga 13 tahun, dipaksa bekerja dan dikurung oleh sindiket. Mereka takut untuk melapor kepada pihak berkuasa kerana bimbang akan dipukul,” katanya.
Jelas beliau, pihaknya turut menahan 14 suspek, terdiri daripada lapan lelaki dan tiga wanita tempatan berusia antara 28 hingga 48 tahun serta tiga wanita Indonesia berusia 27 hingga 37 tahun.
Salah seorang daripadanya disahkan positif dadah jenis methamphetamine.
“Kejayaan atau hasil daripada serbuan tersebut, pihak polis telah berjaya merampas wang tunai Ringgit Malaysia lebih kurang RM1 juta, enam buah kenderaan motokar, 71 pasport, 19 unit telefon bimbit, lima set rakaman kamera litar tertutup (CCTV) serta 14 rangkai kunci rumah,” katanya.
Siasatan awal mendapati suspek-suspek yang ditahan berperanan sebagai penghantar, pengurus dan kerani, serta beroperasi seperti sebuah syarikat kecil yang menguruskan mangsa sebagai tenaga kerja.
Kes disiasat di bawah Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Manakala kesemua suspek direman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi membantu siasatan lanjut.
Kesemua mangsa kini ditempatkan di rumah perlindungan dan diberikan perlindungan interim selama 21 hari sehingga 31 Oktober 2025.