KUALA MUDA, 18 Oktober - Sebuah bot pukat tunda berjaya ditahan oleh Pegawai Penangkap Cawangan Konservasi dan Perlindungan Perikanan Kelunchor selepas disyaki menceroboh kawasan pesisir pantai.
Pengarah Perikanan Negeri Kedah, Sukri Deris berkata, bertindak atas aduan, pasukan penguatkuasa Jabatan Perikanan menahan bot berkenaan di perairan berhampiran Pulau Sayak, di sini, pada jarak 7.5 batu nautika, petang semalam.
Turut ditahan, 4 nelayan warga Thailand.
Beliau dalam sebuah kenyataan berkata, hasil tangkapan, bot dan peralatan menangkap ikan berjumlah RM1 juta disita.
Kes kemudiannya diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Cawangan Konservasi dan Perlindungan Perikanan Kelunchor untuk tindakan lanjut.
Kesemua mereka akan disiasat di bawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985, kerana melanggar syarat lesen dengan beroperasi kurang daripada 15 batu nautika dari pantai atau pulau terdekat dan juga dari pantai negeri-negeri di Semenanjung Malaysia dan alat pengesanan vesel tidak aktif.
Sukri dalam pada itu turut menegaskan kepentingan pematuhan syarat-syarat lesen yang telah ditetapkan.
Beliau menjelaskan bahawa syarat-syarat ini bertujuan untuk memastikan sumber perikanan dieksploitasi secara berhemah demi kelestarian dan manfaat bersama seluruh golongan nelayan.