fb fb fb fb fb

Anggota polis antara 12 ditahan terlibat kegiatan pemerdagangan wanita

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 18 Oktober - Seorang anggota polis antara 12 individu ditahan selepas dipercayai terbabit dalam kegiatan memperdagangkan tujuh wanita warga India bagi tujuan eksploitasi seks, dalam serbuan di sebuah hotel di Jalan Ampang, baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar menerusi satu kenyataan memaklumkan, selain anggota polis berusia 34 tahun itu, turut ditahan seorang lelaki tempatan berusia 63 tahun serta enam lelaki dan empat wanita warga India berusia antara 21 hingga 58 tahun.

Menurut beliau, kesemua suspek ditahan menerusi operasi khas Op Pintas (Eksploitasi Seks) yang dijalankan Bahagian Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (D3) pada pukul 1 pagi, 30 September lepas.

“Pada 16 Oktober lalu, kertas siasatan telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara dan dipersetujui untuk menuduh lima tangkapan termasuk anggota polis berkenaan yang disyaki ahli sindiket, di bawah Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

“Selain itu, lima tangkapan warganegara asing turut dituduh di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kesemua mereka telah dituduh di Mahkamah Sesyen Jenayah 9, Kompleks Mahkamah Jalan Duta, semalam.

Dalam serbuan itu, polis turut menyelamatkan tujuh wanita warga India berusia 25 hingga 40 tahun yang diperdaya datang ke Malaysia kononnya untuk bekerja sebagai pembantu rumah, namun dipaksa menjadi pekerja seks.

“Mangsa dikawal ketat oleh ahli sindiket dan ada antara mereka dipukul serta diugut jika enggan mematuhi arahan,” jelas Kumar.

Beliau menegaskan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam jenayah pemerdagangan orang dan tindakan tegas akan diambil tanpa mengira latar belakang.

Orang ramai juga digesa menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti pemerdagangan orang atau eksploitasi seks di balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE