IPOH, 7 Oktober – Polis menahan seorang lelaki tempatan yang disyaki terlibat dalam kemalangan membabitkan sebuah van dan enam buah kereta di kawasan parkir Stesen KTM Ipoh, awal pagi Ahad.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata kemalangan berlaku sekitar pukul 2.55 pagi apabila seorang lelaki yang juga pemandu van gagal mengawal kenderaan ketika membelok masuk ke simpang lalu melanggar beberapa kenderaan yang sedang berhenti di kawasan parkir.
Foto IPD Ipoh
“Hasil maklumat orang awam, pihak polis berjaya mengesan dan menahan seorang lelaki tempatan yang merupakan pemandu van terbabit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Siasatan mendapati tiada kecederaan dilaporkan dalam insiden tersebut, manakala ujian saringan air kencing terhadap suspek didapati negatif.
Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara cuai dan membahayakan.
Terdahulu, tular di media sosial satu video memaparkan beberapa kereta diparkir di Stesen KTM Ipoh mengalami kerosakan teruk, dipercayai dilanggar kenderaan lain.