fb fb fb fb fb

77 pekerja diperiksa dalam Operasi Bersepadu JTKSM

Foto fail/BERNAMA

CAMERON HIGHLANDS, 7 Oktober -Seramai 77 pekerja diperiksa dalam satu Operasi Bersepadu Penguatkuasaan Khas yang dijalankan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) di sini, pagi tadi.

Daripada jumlah itu, 14 merupakan pekerja tempatan manakala 63 lagi pekerja asing.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) Betty Hasan berkata, operasi tersebut melibatkan seramai 80 anggota pelbagai agensi penguatkuasaan.

Ia dilaksanakan dengan kerjasama Majlis Antipemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (MAPO), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Antara kesalahan dikesan adalah bawah Seksyen 24D, Seksyen 24J, Peraturan 4(2) dan Peraturan 4(3) Akta Standard Minimum Perumahan Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).

Selain itu, turut dikesan kesalahan mengikut Seksyen 25A, Seksyen 63A, Peraturan 8 dan Peraturan 9 Akta Kerja 1955 (Akta 265), serta Seksyen 43 Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732).

"Hari ini tindakan kita adalah pengawasan operasi yang kita buat kita nak menguatkuasakan akta, kita nak melihat bagaimana majikan mematuhi undang-undang. Sebab kita memang mengadakan pendidikan perburuhan, tetapi kita dapati apabila kita buat pemeriksaan, operasi seperti ini banyak lagi majikan yang tidak patuh, contohnya pembayaran gaji tunai dan sebagainya, itu yang kita nak ambil tindakan penguatkuasan ke atas majikan, " katanya kepada pemberita, di sini.

Dalam pada itu, PERKESO turut mengesan kesalahan bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969: Seksyen 93 (Akta 4) manakala CIDB mengeluarkan notis kepada majikan mengikut Seksyen 27 dan Seksyen 35M (Akta 520).

JTKSM komited mempergiat pelaksanaan operasi dan penguatkuasaan perundangan sebagai langkah proaktif membanteras ketidakpatuhan terhadap mana-mana akta perburuhan demi memastikan kebajikan pekerja tempatan dan asing dipelihara.

TETITIA YUSOFF