GEORGE TOWN, 19 Mei- Polis menahan seorang lelaki tempatan yang cuba menyerang Balai Polis Dato Keramat, di sini, Pulau Pinang, awal pagi tadi.
Ketua Polis negeri, Datuk Hamzah Ahmad berkata, suspek berusia 35 tahun itu berada di bawah pengaruh alkohol dalam kekecohan yang ditimbulkan kira-kira pukul 4.00 pagi tadi.
Cubaan suspek untuk merampas senjata api anggota polis juga berjaya dihalang.
"(Suspek) mengarahkan untuk membuka pintu pagar sambil memaki hamun. Anggota polis telah memberi amaran dan menasihati suspek supaya beredar meninggal kawasan balai, namun tidak dihiraukan.
"Sebaliknya terus menghampiri anggota bertugas dan cuba merampas senjata jenis HK MP5 yang disandang anggota tersebut tetapi berjaya dihalang," katanya dalam kenyataan.
Suspek juga telah bertindak cuba melakukan serangan menggunakan topi keledar sehingga menyebabkan pergelutan sebelum berjaya ditangkap.
Hamzah berkata, suspek mempunyai empat rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah dan dadah, namun bebas pengaruh dadah ketika kejadian.
Suspek direman selama empat hari sehingga 22 Mei ini untuk siasatan lanjut.
Kes itu disiasat dibawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan, 506 Kanun Keseksaan dan 90 Akta Polis 1967.