fb fb fb fb fb

Lelaki Thailand ditahan, seludup methamphetamine

Foto Hiasan

LANGKAWI, 19 Mei - Seorang lelaki warga Thailand dihadap ke Mahkamah Majistret Langkawi atas tuduhan menyeludup pil methamphetamine di Balai Ketibaan Antarabangsa, Terminal Feri Langkawi pada Mac lalu.

Tertuduh, Wirasak Tialek, 41 tahun, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Majistret Nurul Natasha Rizal, bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa telah mengedar dadah berbahaya jenis methamphetamine di terminal itu seberat 1,330 gram pada pukul 2.30 petang pada 6 Mac 2024.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum bawah Seksyen 39B (2) akta sama.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup berserta sebatan tidak kurang daripada 12 sebatan.

Mahkamah menetapkan 21 Julai 2024 sebagai tarikh laporan kimia dan sebutan semula kes.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Normaliza Mat Isa manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Media sebelum ini melaporkan JKDM Cawangan Penguatkuasaan Narkotik Langkawi menahan seorang lelaki warga Thailand yang cuba menyeludup 14,000 pil Methamphetamine, ketika melalui kawasan pemeriksaan tanpa bagasi di Balai Ketibaan Antarabangsa, Terminal Feri Langkawi.

TETITIA YUSOFF