BUKIT KAYU HITAM, 19 Mei - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengesan kegiatan kenderaan asing melakukan penyeludupan diesel bersubsidi rentas sempadan membabitkan nilai kerugian mencecah RM1.25 juta sehari.
Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Aedy Fadly Ramli berkata kenderaan asing tersebut dikesan masuk dan keluar melalui sempadan Malaysia-Thailand sehingga lima kali sehari bagi melakukan kegiatan tersebut.
Beliau berkata, kesemua kenderaan itu dipercayai telah diubah suai dengan pemasangan tangki tambahan bagi membolehkan diesel diseludup dalam kuantiti yang banyak.
"Apa yang mendukacitakan kita, penyeludup ini masuk dan keluar seludup diesel hampir lima perjalanan sehari. Jadi kita dapati anggaran ketirisan hasil di sempadan Bukit Kayu Hitam sahaja kita dapati satu kali perjalanan kerugian kepada kerajaan RM250,000," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media 'Ops Tangki' di Depoh Tahanan Kenderaan Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), di sini,.
Setakat ini 18 kenderaan asing termasuk lori treler berjaya ditahan.
Tambah Aedy Fadly, menerusi Ops Tangki itu pihaknya turut memberi tumpuan kepada kenderaan asing persendirian dan perdagangan.
Hasilnya JPJ telah menyita dua treler, lima kenderaan pacuan empat roda dan kereta di ICQS Bukit Kayu Hitam, manakala 10 lagi kenderaan disyaki terbabit penyeludupan ditahan di Sungai Petani.